Kajian saintifik yang terperinci telah mendapati perubatan herba berupaya memberi impak secara global terutama di negara-negara membangun. Salah satu tumbuhan herba yang berpotensi sebagai agen anti-kanser ialah Strobilanthes crispus (pecah beling atau pecah kaca). Satu sub-fraksi daripada ekstrak daunnya (SCS) boleh membunuh sel kanser payudara secara apoptosis, setanding dengan drug anti-kanser dan tamoxifen (Tam) pada dos tinggi, serta berpotensi meminimumkan kesan sampingan Tam dengan meningkatkan kesan Tam pada dos yang lebih rendah. Keadaan ini melibatkan modulasi pelbagai molekul isyarat dalam laluan apoptosis secara intrinsik dan ekstrinsik.
Kajian menggunakan haiwan makmal menunjukkan rawatan SCS serta bahan aktifnya, lutein atau β-sitosterol, berupaya merencatkan pertumbuhan tumor mamari tanpa kesan negatif terhadap profil hematologi dan fungsi organ utama yang lain. Mekanisme tindakan terhadap tumor mamari ini adalah pelbagai, termasuk penurunan ekspresi protein pendorong kitaran sel tumor serta protein anti-apoptosis, manakala protein yang mengaruh apoptosis ditingkatkan. SCS juga dapat meningkatkan keupayaan sistem imun untuk bertindak terhadap tumor mamari dengan memodulasi ekspresi pelbagai protein berkaitan dan meningkatkan aktiviti sel imun yang melawan tumor. Di samping itu, SCS mampu menghalang penghijrahan dan pencerobohan sel tumor serta memodulasi pelbagai protein yang terlibat bagi membantutkan proses mestastasis tumor ke organ-organ lain. Kecanggihan pengkomputeran masa kini telah membolehkan simulasi analisis in silico sebatian-sebatian utama dalam SCS dijalankan bagi membantu dalam mengenal pasti potensi interaksinya dengan protein reseptor tertentu sebagai salah satu mekanisme tindakan anti-tumor SCS.
Walaupun pelbagai kajian jelas menunjukkan SCS mempunyai kesan anti-kanser, kajian praklinikal Amalan Makmal Piawai masih diperlukan untuk memenuhi keperluan Agensi Regulatori Farmasi Negara sebelum bahan herba seperti SCS dapat dipasarkan sebagai adjuvan kepada drug terhadap kanser. Kajian saintifik yang terperinci dan menyeluruh dapat mengelakkan penggunaan bahan herba secara berleluasa tanpa memahami kesan sampingan atau interaksi dengan drug yang sedang digunakan. Seterusnya, kajian terperinci sebegini akan memudahkan kelulusan agensi berkaitan di peringkat antarabangsa.